Wednesday, 10 August 2011

Masak Lemak Ketam yang Menjilat Jari...!!!

Kalu dalam menu yang dirancang, juadah hari ni memanglah Masak lemak Ketam..haha..menjadi jugak ikut menu, tak macam tahun lepas, tak pandai nak budget lauk, mesti lebih banyak setiap kali buka & bersahur.. :)
Sayurnye plak Kangkung Goreng Belacan yang kebetulan ada kangkung lebih dari buat pecal hari tu...hehe, tkn baik membazir tau.. :) Jadinya Kangkung Goreng Belacan takyah la tulis resepi lagi sebab minggu lepas dah masak pun juadah ni..hehe

Ini la resepi Masak Lemak Ketam yang mudah disediakan....

Resepi Masak Lemak Ketam
Bahan Utama
Ketam 4 ekor dipotong tengah
Bahan dikisar
Sebiji Bawang Besar
1 Kiub Ikan Bilis
Sebiji Cili Merah Besar
1 Sudu Teh Serbuk Kunyit
3 Cawan Santan Pekat
1 Cawan Santan Cair
Bahan2 Lain
2 Batang Serai Dititis
Garam & Gula Secukup Rasa.
Cara2
Masukkan bahan dikisar, Serai & Ketam ke dalam periuk
Letakkan di atas api
Kacau sedikit sementara tunggu mendidih 
**tips perlu dikacau selalu untuk elakkan pecah minyak
Masukkan Garam & Gula Secukup Rasa
Bila Mendidih Tutup Api & Boleh Dihidangkan..

Senangkan??...hehe, ni la cara yang express & paling mudah..hari ni aku & incik suami menambah nasi gara2 Masak Lemak Ketam..Si kecik tu pun suka..puas hati hari ni dapat makan ketam..yey..!!!

Bukti turun Al-Quran pada Malam "Lailatul Qadar" & kaitannya dengan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan.

Bila tiba je bulan Ramadhan, rasanya semua orang akan terlintas tentang Malam Lailatul Qadar..dan turunnya Kitab Suci Al-Quran pada Ramadhan yang Mulia..Kita dari kecil telah didedahkan 17hb Ramadhan adalah hari turunnya Al-Quran kerana setiap tarikh inilah kita akan bercuti & menyambutnya..Dalam diam terbit sedikit sangsi berkenaan tarikh '17 Ramadhan' tersebut..tepatkah ia? dari manakah sumbernya??..

Namun Allah terlebih dahulu menerangkan berkenaan Lailatul Qadar & penurunan Al-Quran di dalam Al-Quran pada "Surah Al Qadr" & "Surah Ad-Dukhan" serta Allah juga menyebut berkenaan "Hari Furqaan" dalam "surah Al-Anfaal". 

SURAH AL QADR (AYAT 1-5)
Surah Al-Qadr (Surah yang ke-97) yang terdiri atas 5 ayat. Surah ini dinamai  yang bermaksud kemuliaan, diambil dari perkataan Al Qadr yang terdapat pada ayat pertama surah ini, surah ini menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan pada 'Lailatul Qadar':
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5[ Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

SURAH AD-DUKHAN (AYAT 3 & 4)
Surah Ad-Dukhan adalah surah ke 44 dalam al-Qur'an. Surah ini tergolong surat makkiyah yang terdiri atas 59 ayat. Dinamakan Ad-Dukhan yang berarti Kabut diambil dari kata Ad-Dukhan yang terdapat pada ayat 10 surah ini. 
Pada ayat 3 & 4, di dalam surah ini juga menerangkan berkenaan turunnya Al-Quran pada "Lailatul Qadar" ('malam yang berkat' bermaksud 'Lailatul Qadar') :
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
 [3] Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).
[4] (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).

MALAM LAILATUL QADAR & HADIS
Namun, dalam beberapa hadis Rasullulah berkenaan Malam Lailatul Qadar, ia menunjukkan bahawa Lailatul Qadar mungkin terjadi di antara 10 malam terakhir Ramadhan..
Tetapi, sekiranya Lailatul Qadar di antara 10 malam terakhir Ramadhan, maka turunnya Al-Quran bukanlah 17 Ramadhan tapi mungkin di antara hari ke 20 Ramadhan hingga 30 Ramadhan
Di antara hadis yang menyatakan demikian ialah :

1. Diriwayatkan daripada  Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan: 
Maksudnya : "Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain."

2. Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya :
"Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil"

 Jadi, bilakah tarikh sebenar turunnya Al-Quran??,
17hb Ramadhan atau 10 malam terakhir Ramadhan??, 
Kita lihat pula surah Al-Anfaal (ayat 41)..

SURAH AL-ANFAAL (AYAT 41)
 
 [41] "Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

"Hari Al-Furqaan" pada ayat inilah yang mungkin dimaksudkan "hari turunnya Al-Quran", pada ayat ini juga berkaitan dengan Perang Badar berlaku pada 17 Mac 624 M iaitu 17 Ramadhan dalam Takwim Islam. Perang ini merupakan pertempuran penting dalam zaman awal Islam dan merupakan pemusingan dalam perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dengan pihak lawannya di kalangan Quraisy di Mekah.

Oleh itu sambutan Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan mungkin diambil berdasarkan Surah Al-Anfaal, ayat 41 ini.

 Tetapi apabila diamati ayat di atas "Hari Al-Furqaan, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar)", ayat ini tidak menerangkan dengan jelas Hari Al-Furqaan adalah hari turunnya Al-Quran & mengikut Tafsir Ibnu Katsir "Hari Al-Furqaan" yang disebut itu bermaksud adalah "waktu terjadinya Perang Badar.."
 
Namun, terdapat Tiga Pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang bilakah Al-Quran diturunkan.. 

Pendapat Pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah, (17 Mac 624 M), berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal.
Pendapat Kedua menyatakan Al-Quran diturunkan pada 17 Ramadan, (6 Ogos 610M), tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, namun ini tiada sumber yang jelas. Tetapi dikatakan tarikh ini Rasulullah menerima wahyu pertama iaitu ayat pertama Al-Quran (Surah Al-Iqra). Tarikh ini menunjukkan 'ayat pertama' dari Al-Quran bukan 'penurunan Al-Quran sepenuhnya' & mungkin juga tarikh ini yang diambil unuk sambutan Nuzul Quran di Malaysia.
Pendapat Ketiga pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada 'Lailatul Qadar' di antara 10 malam terakhir Ramadhan tanpa diketahui dengan jelas tarikh sebenarnya (hanya Allah sahaja yang mengetahui), berdasarkan ayat 1-5 Surah Al-Qadr dan ayat 3 & 4 Surah Ad-Dukhan & beberapa Hadis Rasullulah. 


Pendapat Ketiga ini juga disokong oleh al-Baghawi dalam tafsirnya, 
"Al-Quran diturunkan sekaligus pada 'Lailatul Qadar' dari Luh Mahfuz ke Langit Dunia (Al-Sama' al-Dunya), kemudian diletakkan di Bait al 'Izzah untuk disampaikan oleh Jibrail kepada Nabi S.A.W secara beransur2 sesuai dengan pekembangan masa & fikiran masyarakat."


Oleh itu menurut Al-Quran Terjemahan & Tafsiran & Hadis :
Al-Quran turun di malam Lailatul Qadar, di antara 10 hari terakhir Ramadhan, sebelum Rasulullah menerima wahyu yang pertama. 
Tarikh & waktu diturunkan tidak diterangkan & diketahui dengan jelas, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya Pendapat Ketiga adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. 

Wallahualam  

Sumber : 
http://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Badar
http://www.al-azim.com/masjid/ramadhan1425/nuzul/home.htm
http://www.alquran-melayu.com/44-ad-dukhan/
http://www.alquran-melayu.com/8-al-anfal/
http://www.alquran-melayu.com/97-al-anfal/
http://books.google.com.my/books?id=PCUOxtH6AfgC&pg=PA528&dq=ibnu+katsir+hari+furqaan&hl=en&ei=tQxCTuaoMtDirAeCjuXRBw&sa=X&oi=book_result&ct=result&resnum=1&ved=0CCoQ6AEwAA#v=onepage&q&f=false

Tuesday, 9 August 2011

Gulai Nangka, Ikan Bakar & Air Asam..sedapnyer...!!!

Balik kampung hari tu memang ada beli nangka muda, sebab teringin sangat nak makan Gulai Lemak Nangka Muda...Akhirnya dapat jugak aku merasa sebagai juadah berbuka hari ini..resepi Gulai Lemak Nangka Muda ni aku blajar dari mak mentua...memang tak sama macam Gulai Lemak Nangka mak aku masak, tapi sedapnya tetap sama...Cuma yang aku buat ni lain skit kot, sebab nak cepat & ikut modified sendirik je, janji jadik..hehe...

Resepi Gulai Lemak Nangka Muda
Bahan Utama
Nangka Muda (direbus hingga lembut)
Bahan Dihiris
Sebiji Bawang Besar
2 Ulas Bawang Putih
Bahan Kisar
1/2 pek serbuk Kari Babas
3 Cawan Santan Pekat
1 cawan Santan Cair
**tips, aku saja suka kisar santan & kari ni sebab malas nak bancuh serbuk kari, kalu tuang je nanti berketul plak..hehe
Bahan2 Lain
Serbuk Jintan Manis & Jintan Putih (boleh beli kat kedai)
4 Tangkai Daun Kari
8 ekor Ikan Bilis
3 Sudu Makan Minyak Masak
Cara2
Masukkan Nangka & Bahan Dikisar sekali dalam periuk
Letakkan atas api
Sementara ia mendidih...,
Panaskan minyak masak dalam kuali
Tumiskan Serbuk Jintan Putih & Jintan Manis bersama Daun Kari
Kemudian masukkan bahan2 yang dihiris tadi & ikan bilis hingga naik bau.
Kemudian masukkan bahan tumisan dalam periuk yang terisi nangka & santan tadi.
Kacau sedikit & masukkan Garam & Gula secukup rasa.
Biarkan hingga mendidih
kemudian bolehlah dihidang...

Resepi Ikan Bakar
Bahan Utama 
4 ekor Ikan Kembung siap disiang
Bahan Rempah
Kunyit & Garam secukup rasa
Serbuk Jintan Putih & Jintan Manis
2 Sudu Makan Susu Pekat
Cara2
Gaulkan Ikan dengan Bahan Rempah hingga cukup rata, lumurkan Sambal Ikan Bakar di atas ikan
Bakar hingga masak
***tips, jangan bakar terlalu kering nanti tak sedap..

Resepi Sambal Ikan Bakar
Bahan2 Dikisar
1 Biji Bawang besar
seulas Bawang Putih
2 batang serai
10 biji Cili Kecik
Bahan2 lain
Garam & Gula Secukup Rasa
6 Helai Daun Limau Purut diracik
3 sudu makan minyak masak
Cara2
Panaskan Minyak
Tumis semua Bahan Dikisar beserta Daun Limau Purut
Masukkan garam & gula secukup rasa
***Tips, masukkan gula lebih sedikit...
  Biarkan ia  masak & agak kering
Kemudian bolehlah tutup api & lumurkan di atas ikan bakar tadi..

Air Asam (Resepi Mentua)
Bahan2 Dihiris Nipis
Sebiji Bawang besar
2 biji Tomato
1 Tangkai Cabai Besar
5 tangkai Cabai Kecil
Lain2 Bahan
1 sudu teh Kerisik
Sedikit Belacan
2 Sudu Besar Cili Sos
1 Sudu Besar Asam Jawa
Secubit Garam
2 1/2 Sudu Besar Gula
Cara2
Campurkan semua bahan di atas
Biarkan lebih kurang 15-30 minit, air tomato akan keluar sendiri
& boleh dihidangkan bersama ikan bakar..
senangkan?? Sedap lagi hehe..

Air Asam ni feveret Incik suami, setiap kali balik kampung, mak mentua mesti buatkan tuk anak & menantunya ni...hehe, orang kedah memang suka makan air asam ni dgn ikan goreng...memang penambah selera..kalu tak caya, tryla...hehe

Monday, 8 August 2011

~Kari Udang~ Juadah Berbuka hari Ke 8 berpuasa...

Diam tak diam dah Hari Ke-8 kita berpuasa, rasa cepat sungguh masa berlalu..tapi rasa excited nak sediakan juadah sebelum berbuka masih lagi berkobar2..hehe

Untuk Juadah kali ni cuma masak Kari Udang je la, sebab sayur semalam masih ada lagi..sayang rasa nak buang, masih boleh dimakan lagi..kalu namanya udang, kitorang 3 beranak memang feveret..hehe lagi2 sikecik tu, kalu udang goreng makan nasi ngan kicap pun jadik...

Kari Udang
Bahan Utama
500 gram Udang Sederhana
Bahan Dihiris
1/2 Biji Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
Sehiris Halia
Bahan Kisar
1 Cawan Santan pekat
1 Cawan Santan Cair
1/2 Pek Serbuk Kari Udang Babas
Lain2 Bahan
Serbuk Jintan Manis + Jintan Putih (ada jual kat kedai dah dalam bentuk serbuk)
3 Tangkai Daun Kari
Sebiji Tomato Dipotong
4 Sudu Makan Minyak Masak
Cara2
Panaskan Minyak Masak
Masukkan Serbuk Jintan Manis + Jintan Putih & Daun Kari
Masukkan Tomato
Tumis bahan dihiris hingga naik bau
Masukkan Bahan Kisar B, kacau sedikit & Biarkan hingga mendidih & pecah minyak
Masukkan Garam & Gula secukup rasa
Masukkan Udang & tunggu hingga lebih kurang 3-5 minit.
Tutup api
***Tips udang tidak boleh dimasak lama2 nanti jadik kecut..

Ni cara aku masak yg express.. hehe, kalu org dulu2 dia akan masukkan kari dulu pastu santan sikit demi sedikit..kalu aku, aku buh je sekaligus..malas nak masuk sikit2 cam leceh jek..hehe..tapi rasa memang tak lari..yang penting sedap sebab ada rasa manis udang...hehe




Oh "Sambal Taun Kulit Lembu" @ Bazar Ramadhan Tanjung Karang D'best..

Balik kampung hujung minggu lepas memang best..dapat berbuka dengan family (walaupun semua x balik) tapi best jugak...2 kali dapat berbuka kat Teluk Intan...hehe, jadila..3 hari sebelum Raya balik nanti, dapatla berbuka sekali lagi dengan family sebelum bertolak kat kampung Mentua (raya tahun ni di kampung Mentua kat Bandar Bahru, Kedah)....

Pastu Ahad yang lepas ni, balikla kami 3 beranak kembali ke Desa Coalfield tercinta..kali ni ikut Jalan Kuala Selangor, konon nak cuba highway baru (Highway Latar)..tapi tak kesampaian....

Bila lalu Kuala Selangor time bulan pose memang tak sah kalu tak singgah Bazar Ramadhan Tanjung Karang..alaa, yang dekat ngan 'flyover' tu...memang best, banyak pilihan lauk-pauk & kuih muih..terutama lauk-pauk & kuih muih tradisi jawa..hehe, situ kan majoriti Jawa & ada juga yang Banjar...Antara yang best Sambal Taun (My feveret), Pecal, Pecel Lele (Ikan Keli Salai dimasak lemak Cili Api), Soto, Nasi Ambeng, Sambal Goreng, Kuih Talam Berlauk, Kuih Tepung Torak & macam2 lagi la yang menggugat naluri rasa tamak nak beli semua yang ada sebab tengah lapar..hehe..

Tapi akhirnya yang aku beli cumalah Sambal Taun Kulit & Perut Lembu, Kuih Apam untuk sikecik, Karipap kononnya sardin (sampai rumah bertukar jadik inti kentang plak), Murtabak Daging, Ayam Percik, Kerabu Daun Selum + Taugeh & Air kedondong Assam Boi...

Ni la Sambal Taun, kan cuma masak lemak jek..(yang ni separuh dari yang dibeli) 


Resepi Sambal Taun /Tahun
Bahan Utama
250 gram Perut Lembu/Babat (Direbus hingga lembut)
250 gram Kulit Lembu/Kikil
Bahan Dihiris
1 inci Lengkuas 
1 inci Halia
4 ulas Bawang Putih
Satu Setengah Biji Bawang Besar
Bahan Lain2
20 biji Cili padi
1 Cawan santan Pekat
2 Cawan Santan Cair
5 Sudu Makan Minyak Masak
Gula & Garam Secukup Rasa
Cara2
Panaskan Minyak
Tumis Bahan yang dihiris hingga naik bau
Masukkan Cili Padi bulat2
Masukkan Semua Santan, Perut Lembu & Kulit Lembu
Garam & Gula secukup rasa
Kacau & Biarkan hingga mendidih
Bolehlah dihidangkan
Sambal Taun Kulit & Perut Lembu tu sebenarnya masak lemak cili api je, cuma cilinya tidak ditumbuk/hancurkan dia buh bulat2 kat masak lemak tu..pastu buh lengkuas skit..aku pun tak faham kenapa ia dipanggil 'Sambal Taun'..bila aku tanya mak, dia jawab 'taun' tu dari perkataan 'tahun' maksudnya boleh tahan bertahun la kot..camtu la citernya..tapi memang best sangat sambal taun tu..susah nak jumpa kalau bukan bulan posa..masa ni la aku borong beli sambal taun tu sampai RM13..hehe, simpan dalam freeze, bila nak makan aku panaskan la skit2..sebab aku jek yang makan, incik suami tak biasa makan..

Bila sebut kulit lembu, tak semua orang biasa makan, memang pelikkan..tapi hari Ahad lepas adala masuk Buletin Utama pasal Kulit Lembu dikomersialkan...mahal tu 1/2kg RM7..hahaha..boleh jadik tauke kalu bisnes kulit lembu nih..hehe..Kulit lembu ni takdela lemak cam kulit ayam tu..ianya kena diproses dulu, dibersihkan untuk buang isi2 & lemak2 yang masih terlekat pada permukaan kulit tu..pastu  bakar untuk kikis bulu2 lembu, pastu dijemur hingga kering & akhir sekali direbus...lepas tu barulah dimasak..biasanya buat Masak Lemak (Sambal Taun), Masak Sup, Kerabu Kulit Lembu ataupun dimasak Taucu,,...hmmm...semuanya sedap2...hehe.. ;)

Ni Ayam Percik untuk Incik Suami sebab tak lalu makan Sambal Taun..hehe (RM3/best jugak)

Ni plak Kerabu Daun Selum + Taugeh..ni pun best...!! (RM2/banyak giler)

Murtabak Daging (RM2)

Hari tu sampai umah pukul 7 ptg...Alhamdulillah sempai gak masak nasi & potong belimbing..hehe..hmmm, agaknya bila lagi aku boleh ke Bazar Ramadhan Tanjung Karang ek...tahun depan la jawabnya...hehe

Asam Pedas Ikan Pari & Sayur Pecal...yummy..!!!

Juadah berbuka hari keempat plak ialah Assam Pedas Ikan Pari...Assam pedas ni Assam Pedas jenis tumis, sesetengah orang buat Assam Pedas Rebus...Lepas tu sayurnya Sayur Pecal, Pecal ni bukan aku yang buat tapi mak..hehe, memang tersimpan kat peti sejuk bahan2 pecalnya, tinggal bancuh & rebus sayuran jek...

Assam Pedas Ikan Pari
Bahan Utama
1 Slice Ikan Pari (dipotong kecil, digaul dengan kunyit & garam
Bahan2 Kisar
Sebiji Tomato
2 Senduk Cili Kisar
1/2 Biji Bawang Besar
2 Biji Bawang Putih
Belacan Sebesar Ibu Jari
Bahan2 Lain
6 Batang Kacang Bendi
Sebiji Tomato dipotong kecil
3 cawan air
Sekeping Asam Keping
Sebatang Bunga Kantan dibelah 2
5 Tangkai Daun Kesum
Sebatang Serai dititiskan
Garam & Gula secukup rasa
4 sudu makan Minyak Masak
Cara2
Goreng Ikan Pari separuh Masak & ketepikan
(Ataupun masukkan dalam Mikrowave dalam 2 minit)
***Tips kalu masuk microwave, jangan buang air ikan yang keluar selepas dimasak dengan mikrowave***
Panaskan 4 sudu Makan Minyak
Tumiskan bahan yang dikisar hingga memekat
Masukkan Serai, Bunga Kantan, Daun Kesum & Assam Keping
Masukkan Air
Biarkan mendidih
Masukkan Kacang Bendi
***Tips bendi hendaklah dimasukkan ke dalam masakan sebaik sahaja memotongnya, sekiranya memotong bendi dahulu, dan membiarkan ia lama sebelum dimasukkan ke dalam masakan, bendi akan berlendir***
Masukkan Tomato yang dipotong & Ikan Pari (beserta air ikan yang keluar selepas masuk di mikrowave)
Masukkan garam & Gula secukup rasa
Biarkan sehingga mendidih & tutup api
Sekarang bolehlah dihidangkan..

Sayur Pecal
Kuah Pecal yang belum dibancuh

Sayur Pecal

Resepi Kuah Pecal Express
Bahan2 digoreng asing2
500 grm Kacang Tanah
2 genggam cili kering (dipotong, dicuci & digoreng)-> Kalu nak pedas boleh bubuh lebih.
Segenggam Udang Kering
Bahan2 Lain
500 gram Bawang Goreng Siap (beli kat kedai jek)
Garam & Gula secukup rasa (**letakkan gula lebih sedikit)
Cara2
Campur semua bahan2 di atas & gaulkan
Kemudian Kisar
***Kisar jangan terlalu halus, kisar agak kasar***
Kemudian bolehlah ambil berapa banyak kuantiti yang diperlukan & bancuh dengan air panas & biarkan sebentar sehingga kembang.
Bolehlah dihidangkan bersama sayuran.
***Bahan kisar yang lebih tadi bolehlah disimpan dalam peti sejuk supaya tahan lama***

Untuk sayur Pecal biasanya aku suka Timun disagat (tak perlu celur) Taugeh, Kangkung, Kacang Panjang..dicelur & dicampurkan dengan kuah pecal tadi..sesetengah orang suka makan dengan sayuran lain seperti sengkuang, pucuk ubi, nasi impit atau mee kuning ataupun bihun...semua tu mengikut selera masing2..Untuk kuah pecal, ada jugak yang suka masukkan daun cekur supaya lebih wangi..itupun menurut citarasa masing2..tak bubuh pun takde masalah... :)


Wednesday, 3 August 2011

"Sotong Masak Kicap & Sambal Goreng Tempe" Juadah Hari ke-3 Ramadhan....

Alhamdullilah hari ni dah hari Ke-3 Ramadhan...perut pun dah biasa berpuasa berbanding hari pertama yang terasa agak letih...
Untuk juadah hari ini (kalau ikut menu yang dah aku buat 2 minggu sebelum puasa tu) hehe...Sotong Masak Kicap, Sambal Goreng Tempe, Air Sarsi & Kuih Karipap..tapi disebabkan Kuih Tepung Pelita semalam masih ada lagi, jadik tak jadilah nak goreng karipap tu, makan je la Tepung Pelita..sayang la membazir ni...hehe..

Sotong Masak Kicap ni ada sejarahnya..hehe, lauk ni la yang mak buat masa aku mula2 belajar puasa...rasa sedap giler berbuka masa tu..Almaklumla 1st time puasa...haha, sampai sekarang aku ingat, mak kata aku waktu 1st time posa nampak letih sangat sampai kulit tukar kaler biru...adoi..camne la anak aku nanti belajar posa ye...mesti macam2 karenah...

Kat bawah ni resepi Sotong Masak Kicap yg aku blajar dari mak..hehe

Resepi Sotong Masak Kicap
 Bahan Utama
500gram Sotong
Bahan Ditumbuk
2 sudu teh Lada Putih, 
1 ulas Bawang Putih,
1/2 biji Bawang Besar
Bahan2 Lain
3 Sudu makan minyak masak
1 sudu makan Sos Tiram
Sedikit Daun Sup
1/2 cawan Kicap Manis
Garam & Gula Secukup Rasa
Cara2
1.Panaskan Minyak Masak.
2. Tumiskan bahan yang ditumbuk hingga naik bau.
3.Masukkan Sos Tiram & Kicap manis.
4. Masukkan Garam & Gula secukup rasa.
5.Masukkan Sotong..biarkan sehingga sotong masak.
6.--Tips1---Jangan terlalu lama, sotong akan kecut.
7.--Tips2---Jangan tambah air sebab sotong akan keluarkan air.
8.Hidangkan & Taburkan dengan Daun Sup.

Sambal Goreng Tempe
Bahan2 Digoreng (digoreng asing2)
Sebungkus Tempe dipotong kecil
Sebiji Ubi kentang dihiris nipis
Segenggam Ikan Bilis (dah dikupas)
Segenggam Kacang Tanah
Bahan2 Sambal
3 Sudu Makan Cili Kisar.
2 Sudu Makan Cili Sos
3 Sudu Makan Gula
1/2 Biji Bawang Besar dihiris nipis
Seulas Bawang putih dihiris nipis
2 Sudu makan Minyak masak
Cara2
1.Goreng semua bahan yang digoreng secara berasingan hingga garing rangup & ketepikan.
2.Panaskan Minyak Masak untuk membuat sambal.
3.Tumiskan bawang putih.
4.Masukkan Cili Kisar, Cili Sos & Gula
5.Tunggu hingga Cili masak & memekat
6.---Tips---xperlu bubuh garam sebab ikan bilis dah masin.
7. Bila cili sudah memekat masukkan bawang besar.
8. Kacau sebentar.
9. Tutup api dan biarkan sambal sejuk.
10.Masukkan bahan digoreng ke dalam sambal yang sejuk tadi & gaulkan rata.
11.Sekarang boleh dihidangkan.

Kuih Tepung Pelita
hehe..kuih ni takde resepi sebab beli kat Bazar ramadhan... ;)

Resepi Sambal Goreng Tempe tu resepi aku sendiri..agak2 je..tapi incik suami suka kalau dimakan terus sebab masih rangup lagi, kalau biarkan lama dah x rangup la bahan2 yang digoreng tu...

Kebanyakan kalau resepi aku sendiri atau aku blajar dari mak semua guna bawang besar..aku memang tak guna langsung bawang merah (aku panggil bawang kecil)..leceh, pastu kecik2 malas nak kupas...tapi setakat ni walaupun guna bawang besar, ok je...rasa masakan pun sama je cam buh bawang merah..so, takde masalah la...hehe

Bawang Besar ni sesuai sgt untuk pompuan2 yang bekerja ni..(biasanya aku pakai bawang besar warna merah2 pink tu, bukan bawang besar kaler hijau)..mudah dikupas & besar2 & paling penting menjimatkan masa.....hehe..

Tuesday, 2 August 2011

Dalil berkenaan puasa menurut Al-Quran & Hadis....

Bila kita sebut pasal puasa, macam2 kepercayaan yang dibawa, contohnya : -

~Puasa tak boleh korek hidung atau korek telinga nanti boleh batal..

~Puasa tak boleh mandi lepas asar jadi makruh,

~Puasa tak boleh berus gigi nanti makruh, sehinggakan sanggup menyimpan bauan "harum" dari mulut sampaikan takde orang yang sanggup nak bercakap dengan kita..

~Selepas Imsak tak lagi dibenarkan makan, kalau makan kena luah balik makanan tu, nanti puasa tak diterima (kira macam tak puasala), kita pun terkejar2 sampai nak tercekik kerana dek panduan dari waktu Imsak tersebut yang kita ikut secara membuta tuli..walhal waktu imsak hanyalah sekadar panduan untuk kita bagi mengingatkan kita waktu fajar akan menjelma dalam lebih kurang 10 minit lagi...

Di sini ada beberapa dalil yang berpandukan hadis sahih Rasullullah S.A.W yang merungkai segala kepercayaan yang tidak boleh lagi dijadikan amalan kita....

Puasa : Mengorek hidung/telinga/meletakkan ubat pada hidung & telinga

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata.

Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; ”saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya”.

Dalam hadis disebutkan:

"Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa" (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.

Puasa : Mandi Selepas Waktu Asar

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya.

Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

 Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: 
Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).

Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Puasa : Sunnah sewaktu berbuka

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (rujuk: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). 
Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis.

 Anas katanya:
Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air”. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih).

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):
Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.” (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Puasa : Waktu sahur mengikut Sunnah

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh.

Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya):
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam" (surah al-Baqarah: 187).

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas:
“Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh).”

Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya.

 Baginda bersabda:
“Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya” (dinilai sahih oleh al-Albani).

Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal.

 Ada orang kata, ”dia tidak dapat terima pendapat ini”. Jawapannya : ”Tetapi Ini hadis bukan pendapat.
Orang kata: "Saya pakai pendapat orang ramai." Jawapannya : ”Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.”

Puasa : Berbuka mana perlu didahulukan? Solat Maghrib atau makanan yang terhidang??

 "Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan."

Hadis yang dinyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, lantas terus menunaikan solat. Solat Maghrib perlu didahulukan sekiranya makanan belum dihidangkan.

Tetapi sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.

Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya:

Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:
Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:
"Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata."

Kata an-Nawawi (meninggal 676H):
"Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk."
(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata.

Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:
Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

 Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat.

Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):
 “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

Puasa : Makruh Gosok Gigi??

Di bulan Ramadan ini mungkin kita terdengar pandangan ustaz yang menyatakan makruh menggosok gigi atau berkumur semasa atau selepas tergelincir matahari ketika berpuasa. Jika kita tanya mereka: apakah nas dalam masalah ini?’. Sebahagian mereka mungkin menjawab: ‘dah ulama cakap macam tu, atau kitab cakap macam itu, terima sahajalah’. Ini tentulah satu jawapan yang boleh dianggap ‘pandir’ dan dangkal sekali. Islam bukan agama taklid buta, menelan apa yang orang cakap tanpa perlu tahu dalilnya.

 Mungkin yang lebih berpengetahuan akan menjawab: “ada hadis Nabi s.a.w menyebut:
Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, memang ada tokoh-tokoh ilmuwan silam pun yang memberikan pendapat sebegini. Tetapi hadis ini jika kita lihat tidak pula menyatakan seseorang yang berpuasa tidak dibenarkan atau digalakkan menggosok gigi. Pendapat yang memakruhkan menggosok gigi –samada menggunakan ubat gigi atau tidak- hanyalah andaian atau kesimpulan yang dibuat daripada hadis ini, bukan ada nas sahih yang jelas melarang hal ini.

Hadis ini tidak pula menyatakan bahawa Allah suka supaya bau busuk itu dikekal sepanjang hari. Ada pun hadis-hadis lain yang seakan menggalakkan orang yang berpuasa mengekalkan bau kerana kering mulut orang berpuasa itu cahaya pada Hari Kiamat adalah daif atau lemah sanadnya. Ini boleh dilihat dalam ulasan al-Imam al-Mubarakfuri (meninggal 1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi mengenai bersugi bagi orang berpuasa.

Dalam konteks kehidupan harian, apakah patut kita membiarkan mulut kita sentiasa busuk sepanjang Bulan Ramadan sehingga mengganggu rakan sepejabat atau sekerja yang mungkin di kalangan mereka ada yang tidak faham Islam dan akan mentohmah agama ini?!

Sebenarnya andaian yang memakruh bersugi atau membersihkan mulut ketika berpuasa tidak boleh mengatasi galakan bersugi yang Nabi s.a.w sabda:
Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini tidak mengecualikan Bulan Ramadan, dan tentu sekali antara waktu solat itu adalah solat Zohor dan Asar ketika berpuasa.

Puasa : Bagi Musafir

Apabila kita memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila ada yang mengatakan bahawa mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang keliru; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?!

Dalam satu hadis Rasullulah berkenaan permasalahan di atas :~

Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa).

Lalu baginda bertanya: "Kenapa?"

Mereka menjawab: "Dia berpuasa."

Baginda bersabda: "Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir" (riwayat al-Bukhari).

Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Apa yang ingin dijelaskan di sini, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti.

Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.

Wallahualam..