Thursday, 28 July 2011

Surah Luqman yang baik diamalkan ketika mengandung..

Surah Luqman ni orang kata bagus terutama diamalkan waktu pregnant..untuk mendapat anak yang soleh & solehah... 

Surat Luqman (سورة لقمان) adalah surat ke-31 dalam Al Quran.
Surat ini terdiri dari atas 34 ayat dan termasuk golongan surat-surat Makkiyyah.
Nama Luqman diambil dari kisah tentang Luqman yang diceritakan dalam surah ini tentang bagaimana ia mendidik & menasihati anaknya dan nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah yang wajib kita syukuri serta kekuasaan Allah S.W.T.

Siapakah Luqman??
Tapi dalam hati tertanya2, siapakah Luqman itu sebenarnya??, apa istimewanya Luqman sehinggakan Allah S.W.T mengabadikan namanya dalam kitab suci Al-Quran.  
Akhirnya dapat jugak maklumat berkenaan Luqman...

Luqman / Luqmanul Hakim adalah seorang yang Soleh dan memiliki akhlak yang mulia, akhlak yang berasakan iman yang kukuh.
Di dalam surah ini Allah memberikan pelajaran kepada kita akan kesolehan Luqman dalam memberikan nasihat kepada anaknya, yakni nasihat yang mengandungi unsur KEILMUAN yang mendalam, KEIKHLASAN yang suci dan KECINTAAN yang tinggi.

Oleh kerana itu, Allah memberikan hikmah kepada Luqman, tetapi Allah tidak memberikan wahyu, kerana wahyu diperuntukkan bagi seorang Nabi.
Menurut Ibnu Katsir, Luqman adalah seorang lelaki soleh, ahli ibadah, pengetahuan dan hikmah yang luas.
Ada yang mengatakan bahwa dia adalah seorang hakim pada zaman Daud as. Wallahu A’lam.

Kandungan Surah Luqman
Di ayat awal surah Luqman memberitahu bahawa  Kitab (Al-Quran) mengandungi ayat-ayat   yang terisi dengan hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh & menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik. 
Amal baik yang dimaksudkan ialah orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat. 
Orang2 inilah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Allah, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Pada ayat yang seterusnya pula menerangkan berkenaan orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.  

Di antara orang-orang tersebut ialah :
1. Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada perkara-perkara hiburan yang melalaikan yang boleh menyebabkan diri sendiri & orang lain sesat dari agama Allah. Orang-orang ini bertindak tidak berdasarkan pengetahuan.
2. Orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai bahan ejekan.

3. Orang yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Al-Quran, Dia berpaling dengan angkuhnya, seperti ada penyumbat pada kedua telinganya.


Ayat ke 8 & 9 dalam Surah Luqman menceritakan tentang janji Allah S.W.T yang Maha Kuasa, lagi Bijaksana tentang balasan syurga kepada  orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Ayat yang seterusnya pula menceritakan bahawa Allah telah mencipta langit dengan tidak bertiang, gunung-ganang yang kukuh di bumi  supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan isinya & Allah S.W.T membiakkan berbagai jenis binatang & Allah juga menurunkan hujan dari langit, serta menumbuhkan berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat. Maka, siapa yang menyembah melainkan Allah, mereka adalah orang yang zalim (syirik) berada dalam kesesatan yang jelas nyata.


Bermulanya cerita Luqman adalah pada ayat yang ke 12, di mana ayat ini menceritakan bahawa Allah telah memberi hikmat kebijaksanaan & memerintahkan Luqman bersyukur kepada Allah akan segala nikmatNya. Dan Allah menyatakan bahawa sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.


Nasihat Luqman kepada anak2nya

1. Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".


2. Wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kerana ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Allah dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Allah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

4. Tetapi jika mereka berdua (ibu bapa)  mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan Allah  maka janganlah engkau taat kepada mereka, dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Allah lah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.


5. "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Dirujuk dari Ayat 16)


6. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (Dirujuk dari Ayat 17)


7.  "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Dirujuk dariAyat 18)

8.  "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".(Dirujuk dari Ayat 19)


Nikmat & kekuasaan Allah, balasan kepada manusia yang bersyukur & manusia yang kufur.
Kemudian surah ini menceritakan mengenai nikmat2 & kemudahan yang dikurniakan Allah di langit dan yang ada di bumi, dan yang zahir dan yang batin tetapi masih ada di antara manusia yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah. Manusia2 ini hanya menurut apa yang datuk nenek mereka terdahulu lakukan.
Namun kepada sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah dengan ikhlas sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali agama yang teguh dan ingatlah kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.

Allah berfirman kepada Nabi Muhammad "sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada". (Dirujuk dari Ayat 23)

Kepada orang2 yang kufur ini Allah akan berikan mereka menikmati kesenangan sementara di dunia, kemudian Allah akan memaksa mereka dengan menyeretnya ke dalam azab yang amat berat.

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Dirujuk dari Ayat 25)

Nikmat & kekuasaan Allah
Allah pemilik langit & bumi, Allah Maha Kaya lagi Terpuji

Dinyatakan dalam surah ini, sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pen, dan segala lautan dijadikan  dakwat, dengan ditambah kepada tujuh lautan lagi, maka tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. 
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Dirujuk dari ayat 27)

Bagi Allah tidak susah bagi-Nya untuk menciptakan kita semua & membangkitkan kita hidup semula sesudah mati.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Dirujuk dari ayat 28)

Allah juga berkuasa untuk menjadikan malam & siang silih berganti dan  menjadikan matahari dan bulan untuk faedah & kemudahan makhluk-makhlukNya. 
Tiap-tiap satu dari keduanya (matahari & bulan/siang & malam) beredar pada masa yang telah ditetapkan-NYA. 
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Dirujuk dari ayat 29)

Allah yang bersifat penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan  kerana bahawasanya Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. 
Dan ingatlah, sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya. (Dirujuk dari ayat 30)

Dinyatakan juga pada surah ini berkenaan nikmat & kemurahan Allah kepada kapal-kapal belayar di laut. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti untuk berfikir bagi tiap-tiap mukmin yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur. (Dirujuk dari ayat 31)

Pada orang2 yang berlayar ini, apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. 
Namun, bila Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya.
Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi. (Dirujuk dari ayat 32)

Peringatan Allah Kepada Manusia
Surah ini juga menyeru supaya : -
1. Kita hendaklah bertaqwa kepada Allah
2.Takutilah hari akhirat kerana pada waktu itu seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. 
3. Ingatlah bahawa janji Allah itu adalah benar.
4. Janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
5. Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat.
6. Allah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). 
7. Tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat).
8. Tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati.
9. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
(Dirujuk dari ayat 33 & 34)


Wallahualam...