Sambungan Surah Ar-Rahman dari ayat 29 hingga 78...
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" Seperti yang kita tahu ayat diatas diulangi sebanyak 31 kali pada surah Ar Rahman, bermula dari ayat 13..
Pada ayat 29 -78 surah Ar-Rahman lebih menceritakan tentang balasan kepada Manusia & Jin yang kufur serta nikmat & keindahan di Syurga bagi Manusia & Jin yang baik amalannya ...
Pada ayat 29 menyatakan bahawa setiap masa Allah sentiasa dalam urusannya(mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya), di mana sekalian makhluk di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya..
Di dalam surah ini juga dinyatakan bahawa Allah hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal manusia dan jin (pada hari kiamat), namun Allah menyatakan jin dan manusia tidak akan dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasanNya.
Pembalasan bagi Manusia & Jin yang Ingkar
Kepada golongan Manusia & Jin yang kufur ingkar, mereka akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar) & mereka ini tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu).
Ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak, pada masa itu tiada sesiapapun (sama ada manusia atau jin), yang akan ditanya tentang dosanya. Ini kerana masing-masing dapat dikenali berdasarkan keadaan mereka. Di mana orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya (contohnya rupa paras, keadaan fizikal & sebagainya). Lalu, orang2 berdosa ini dipegang dari atas kepala dan kakinya serta diseret ke neraka. Lalu dikatakan kepada mereka "Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya (tidak mempercayainya)". Mereka terus diseksa berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak & sangat panas!
Pembalasan bagi Manusia & Jin yang baik amalannya & beriman (Keindahan Nikmat Syurga)
Pembalasan bagi Manusia & Jin yang baik amalannya & beriman (Keindahan Nikmat Syurga)
Namun bagi orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya, disediakan baginya dua Syurga. Syurga sebagai balasan amal yang baik : ~
Dua Syurga yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan. Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir dan terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan yang biasa dan yang luar biasa. Penghuni Syurga akan bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan pada sebelah dalamnya dari sutera tebal yang bersulam. Buah-buahan yang terdapat pada kedua-dua Syurga itu sangat hampir untuk dipetik.
Di dalam Syurga-syurga itu juga terdapat bidadari-bidadari cantik berseri seperti permata delima dan marjan yang pandangannya tertumpu kepada mereka semata-mata, yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.
Dan selain dari dua Syurga itu, terdapat dua Syurga lagi. Kedua-duanya menghijau subur tanamannya. Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya. Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima. Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya. Iaitu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing. Bidadari-bidadari itu tidak pernah disentuh oleh manusia dan tidak juga oleh jin. Penduduk Syurga itu bersenang-senang di dalamnya dengan berbaring di atas bantal-bantal dan cadar-cadar yang berwarna hijau serta permaidani-permaidani yang sangat indah.
Indahnya Syurga itu..Subhanallah..Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
Wasalam
1 comment:
semoga Allah merahmati puan yang berkongsi tafsiran ni. Terima kasih
Post a Comment